PUTATAN – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Alza dinaiki bersama lima individu lain terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Papar-Kota Kinabalu berhampiran sebuah pasar raya awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 2 pagi itu, pemandu Perodua Alza berusia 19 tahun, dua penumpang masing-masing berumur 20 tahun parah selain dua lagi penumpang berusia 20 dan 21 tahun mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Alza pada pukul 2.35 pagi.
“Siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang datang dari arah Papar Ke Kota Kinabalu dipercayai melanggar belakang Perodua Alza yang datang dari arah sama.
“Susulan itu, Perodua Alza terbabas di kiri jalan. Semua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkan salah seorang penumpang Perodua Alza telah meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya hari ini.
Mohd Haris berkata, pemeriksaan turut mendapati Perodua Alza mengalami kerosakan di bahagian belakang manakala Toyota Hilux mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.