fbpx

K2

Memahami variasi konsep popular kabinet dapur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Material kayu lazimnya menghiasi konsep moden Inggeris.

DAPUR merupakan ruangan terpenting kerana di situlah tempat memasak pelbagai hidangan yang menambahkan lagi kebahagiaan seisi keluarga. Maka, ruangan itu bukan saja perlu cantik dan kemas, tetapi hendaklah berada dalam keadaan selesa serta selamat.

Oleh itu, pemasangan kabinet melengkapkan keperluan di dapur yang sekali gus membuatkan ruang tersebut terlihat cantik dan tersusun walaupun terdapat banyak peralatan memasak serta pinggan mangkuk.

Kabinet dapur agak istimewa kerana ia memerlukan tempahan khas berdasarkan ukuran ruang dapur, pilihan material, rekaan, konsep dan aksesori seperti dikehendaki oleh pemilik rumah tersebut.

Menurut pereka hiasan dalaman di AZR Kitchen Sdn. Bhd., Muhammad Azri Mohd. Yusof, disebabkan aspek-aspek tersebut, kabinet bahagian dapur menelan kos yang sangat tinggi berbanding kabinet di ruang lain.

“Walaupun ukuran sama, tetapi harga kabinet dapur berbeza-beza berdasarkan konsep rekaan, material dan aksesori.

“Ekoran harganya yang mahal, banyak pemaju menyediakan kabinet dapur untuk unit rumah baharu bagi menarik minat pembeli dan pada masa sama dapat menaikkan harga rumah,” jelas pemegang Diploma Seni Bina, Politeknik Sultan Idris Shah itu.

Tambahnya, kabinet dapur sangat istimewa kerana ia berfungsi dua dalam satu iaitu sebagai tempat penyimpanan barang dan juga ruang memasak.

Sementara itu, Muhammad Azri turut berkongsi konsep kabinet dapur yang popular di Malaysia iaitu moden, moden kontemporari, moden Inggeris dan Inggeris klasik.

“Konsep moden menggunakan material berkilau dan banyak elemen kaca yang mana ia mudah dibersihkan, kotoran tidak mudah melekat dan malar segar, tetapi keburukannya ia boleh pecah.

Ruangan dapur yang cantik dan kemas memberikan ketenangan ketika memasak.- Foto oleh AZR Kitchen Sdn. Bhd

“Bagi moden kontemporari pula, menggunakan banyak material melamin sebagai bahan utama yang mempunyai daya kalis lembapan, banyak pilihan warna dan harga lebih ekonomik.

“Ketahanan papan melamin telah diuji di makmal dengan jangka hayat 15 tahun dan sangat sesuai untuk kabinet, tetapi material jenis ini tidak sesuai dipasang di bahagian terdedah dengan air seperti sinki kerana tidak kalis air,” ujarnya.

Konsep moden Inggeris dan Inggeris klasik pula menggunakan material kayu nyatuh dan kemasan semburan cat yang menjadikan ruang dapur tampak premium dan mewah dengan warna-warna majestic.

Muhammad Azri memberitahu, Inggeris moden dan Inggeris klasik lebih mahal berbanding konsep-konsep lain kerana menggunakan kayu nyatuh dan proses mengecat yang agak rumit.

“Walaupun begitu, konsep ini sesuai digunakan di dapur kering sahaja kerana minyak mudah meresap ke dalam cat dan ia juga senang calar.

“Kayu nyatuh ini sangat kukuh, tetapi suhu semula jadi di Malaysia yang panas dan lembap membuatkan cat mudah merekah serta kayu meleding.

“Pembeli perlu tahu perkara ini kerana adakalanya bukan disebabkan pembinaan kabinet itu yang salah, tetapi disebabkan faktor-faktor yang disebutkan tadi,” terangnya yang turut menguruskan kilang pembuatan kabinet yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Di samping itu, Muhammad Azri turut kongsikan enam tip kepada mereka yang ingin membeli kabinet dapur agar tidak tertipu iaitu pertama, pergi ke bilik pameran (showroom) untuk pastikan syarikat tersebut benar-benar wujud.

“Kedua, pastikan kilang membuat kabinet itu mempunyai pereka hiasan dalaman bagi memastikan ukuran kabinet yang ingin dibuat adalah betul, begitu juga dengan konsep, warna dan sebagainya.

“Ketiga, pastikan syarikat tersebut mempunyai kilang sendiri bagi memudahkan jika berlaku sebarang kerosakan selepas jualan.

“Keempat, pastikan bahan digunakan sesuai pada tempatnya seperti jangan meletakkan material yang tidak sesuai dengan air di tempat sinki,” ulasnya.

Seterusnya, pembeli perlu memastikan sebut harga kabinet dibuat pecahan kadar per unit dan bukannya kiraan sekali gus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI