fbpx

Gempar harimau ceroboh Felda Ulu Tebrau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangkai haiwan ternakan dijumpai di kawasan ladang sawit di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Penduduk di Felda Ulu Tebrau di sini digemparkan dengan dakwaan kemun­culan seekor binatang buas yang dipercayai harimau selepas tapak kaki haiwan itu dan beberapa bangkai ternakan ditemui di kawasan semak di ladang kelapa sawit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, pihak­nya sudah berhubung dengan pengurus Felda di kawasan tersebut agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan penduduk daripada ancaman binatang buas.

Menurutnya, Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga telah turun ke lokasi bagi memantau kawasan ladang dan mereka akan datang semula dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Pada masa ini, pengurus Felda sudah memaklumkan supaya penduduk tidak digalakkan masuk ke kawasan ladang buat sementara waktu.

“Jika terpaksa juga masuk ke kawasan ladang, pastikan ia dibuat secara berpasangan atau berkumpulan. Elakkan bertentangan mata dengan haiwan buas sekiranya terjumpa kerana ia dianggap sebagai ancaman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tapak kaki seekor binatang buas dipercayai harimau turut ditemui.

Amira Aisya juga meminta penduduk supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan sekiranya terserempak di mana-mana tempat.

“Jangan ganggu haiwan ini sewaktu ia sedang makan atau berehat, keselamatan kita paling utama. Agensi berwajib sedang jalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

“Tanggungjawab kita sekarang adalah untuk sebarkan pesanan ini dan jaga keselamatan diri bersama,” ujarnya.

Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial yang dikaitkan dengan kehadiran seekor haiwan buas dipercayai harimau dalam media sosial penduduk kawasan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI