MUAR – Berita pemergian vokalis kumpulan XPDC, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mael XPDC malam kelmarin amat dirasai lebih-lebih lagi keluarga terdekatnya.
Menurut keluarga terdekat Allahyarham, kali terakhir dia bertemu Allahyarham kira-kira beberapa hari yang lalu sempena hari raya Aidilfitri.
“Dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli-ahli keluarganya raya kali ini.
“Keadaan fizikalnya sedikit susut namun masih ceria bertemu serta menyapa sanak-saudara.
“Kami tidak menyangka ucapan maaf bermaafan tempoh hari menjadi petanda dia akan pergi selamanya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Karakter Allahyarham yang sangat tenang pastinya memberi kesan mendalam kepada seluruh ahl keluarga dan sahabat-handai.
Allahyarham turut difahamkan menekankan pendidikan agama anak-anaknya sejak kecil lagi.
Sementara itu, kaum keluarga serta rakan selebriti Allahyarham yang ditemui turut mengakui terkejut dengan berita pemergian lagenda rock tanahair itu.
Antara rakan artis yang dilihat hadir termasuk ahli kumpulan XPDC, Crossfire serta Joe Wings.
“Damailah di tempat barumu ini sahabatku. Terima kasih atas segala kenangan yang kita kongsi bersama selama ini.
“Gua juga akan menyusul lu bila time gua sampai nanti.
“Allahummaghfirlahu Warhamhu Wa’afihi Wa’fu’anhu Syed Ismail Bin Syed Ibrahim @ Mael XPDC, 7 Mac 1967 – 27 April 2023,” kongsi Joe Wings.
Jenazah Mael XPDC selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, pukul 10.55 pagi tadi.
Anggaran seramai 200 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara, rakan artis, peminat serta penduduk setempat memenuhi pekarangan tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. – KOSMO! ONLINE