fbpx

Pemilik asal jual tanah Kampung Koskan sejak 1991

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Koskan Tambahan, Maszahar Hashim (kanan) menyerahkan memorandum kepada Penolong Setiausaha Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Norbaini Zainuddin di pintu masuk bangunan SUK, semalam. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Dakwaan penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah di Batang Kali bahawa kerajaan negeri telah memberi pemilikan tanah rizab sungai kepada sebuah syarikat adalah tidak benar.

Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri berkata, tanah rizab sungai yang dimaksudkan dan tanah milik lot persendirian (Lot 4465 GRN 322912) yang menjadi tapak kediaman penduduk adalah dua tapak berbeza.

Katanya, berdasarkan semakan dibuat Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) mendapati tapak kediaman itu telah diberi pemilikan sejak 133 tahun lalu iaitu 21 Jun 1890.

“Pemilik asal kemudiannya telah menjual tanah ini kepada syarikat tersebut iaitu Panca Resmi Sdn. Bhd. pada tahun 1991.

“PDTHS telah menerima permohonan tanah oleh penduduk dan siasatan di tapak mendapati struktur kediaman penduduk adalah terletak di atas tanah hakmilik Lot 4465 GRN 322912. Namun, permohonan yang dikemukakan adalah di atas rizab Sungai Serendah yang juga merupakan kawasan dataran banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, kata beliau, PDTHS tidak dapat mempertimbangkan permohonan di atas rizab sungai tersebut.

Tambah Mohamad Hanafe, beberapa siri libat urus telah diadakan di antara pemilik tanah dan penduduk bagi menyelesaikan perkara ini.

“Penduduk juga telah ditawarkan pakej penyelesaian oleh pihak pemilik tanah. Sebahagian penduduk telah menerima tawaran pakej penyelesaian pemilik tanah tersebut manakala sebahagiannya
enggan menerimanya.

“Lanjutan itu, pemilik tanah telah mendapatkan perintah mahkamah untuk pengosongan tanah milik mereka,” tegasnya.

Jelas Mohamad Hanafe, PDTHS berharap pertikaian melibatkan pemilik tanah dan pihak penduduk itu dapat diselesaikan dengan baik.

Kosmo! semalam melaporkan kemeriahan syawal bagi lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah di Batang Kali terjejas apabila menerima notis pengusiran sehari sebelum dan pagi Hari Raya Aidilfitri lalu.

Penduduk kemudiannya menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang diterima Penolong Setiausaha Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Norbaini Zainuddin di pintu masuk bangunan SUK. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI