fbpx

Dana RM100,000 indahkan semula Pantai Bisikan Bayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Hassan Wan Ibrahim (duduk) mencuba menunggang ATV di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, hari ini.

PASIR PUTEH – Kerajaan negeri telah memperuntukan dana sebanyak RM100,000 untuk pembangunan Agro Pelancongan Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini bagi menarik kunjungan pelancong.

Sebelum ini, pantai berkenaan yang terbiar dan kurang kunjungan orang ramai akan dibangun semula dengan kemudahan asas selain usaha menanam semula pokok rhu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, sokongan kerajaan negeri mampu menarik kembali pelancong domestik ke pantai berkenaan.

Menurutnya, pembinaan tandas awam yang selesa, taman permainan kanak-kanak, medan rekreasi dan gerai jualan makanan telah siap dibina sebagai langkah permulaan untuk mengembalikan kegemilangannya sebagai pantai tercantik di negeri ini.

“Selepas kemudahan asas itu siap dibina tiga bulan lalu, kira-kira 200 hingga 500 penduduk negeri ini dan Terengganu mengunjungi pantai berkenaan setiap hari untuk bersantai bersama keluarga terutama pada hari cuti.

“Pembangunan semula itu memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjalankan pelbagai perniagaan terutama menjual air dan makanan ringan kepada pengunjung, “katanya ketika ditemui Kosmo! selepas mengadakan lawatan ke pantai berkenaan hari ini.

Wan Hassan berkata, langkah itu bertepatan dengan sasaran kerajaan negeri untuk mencatatkan lebih 5 juta pelancong mengunjungi Kelantan sempena kempen Tahun Melawat Kelantan 2020.

Wan Hassan berkata, pihaknya bercadang akan membuat penambahan usaha membangunkan pantai itu selepas pembentangan Bajet Rancangan Malaysia Ke-12 kelak dalam usaha menjadikannya setaraf dengan kedudukan Pantai Irama di Bachok.

Sementara itu, seorang peniaga minuman dan makanan, Razlan Ab. Rashid, 35, berkata, dia memperoleh hasil jualan antara RM200 hingga RM300 sehari.

“Pendapatan itu cukup untuk menampung keluarga dalam keadaan yang sukar ketika ini berikutan ancaman penularan wabak Covid-19,” katanya.

Seorang pengusaha kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), Muhamad Syafiq Aiman Razali, 19, berkata, sambutan terhadap perniagaan yang diusahakannya sejak bulan lepas mencatatkan peningkatan apabila mendapat tempahan antara 20 hingga 35 permintaan terutama pada hujung minggu.

“Kadar sewaan yang dikenakan sebanyak RM45 setiap setengah jam mendapat sambutan terutama dalam kalangan orang muda yang hadir ke sini,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI