fbpx

Syawal sedarkan 3 hal ‘ajaib’ Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Syawal sudah menjelma, ibadah puasa wajib yang kita tunaikan pada bulan Ramadan telah pun tamat.

Perut yang selama sebulan banyak ‘berehat’ terutama di siang hari, tiba-tiba menjadi padat lagi sendat. Lemang, nasi himpit, rendang, ketupat, kuah kacang, sate, lontong, laksa, dodol, kuih tat, nah namakan apa jua juadah, segalanya hendak disumbat.

Sebagaimana Aidilfitri yang secara literalnya membawa maksud ‘kembali kepada fitrah’, kehidupan manusia juga menjadi normal semula, boleh makan tidak kira masa.

Bila berada dalam bulan Syawal ini, barulah kita tersedar akan hal-hal ajaib yang hanya berlaku pada bulan Ramadan. Satu perkara yang mungkin tidak ramai orang sedar melainkan mereka yang menderitainya, Ramadan sebenarnya bulan yang ‘mesra’ dengan penderita gastrik.

Ironinya ketika sesetengah kita sering mendengar gastrik menjadi alasan awam tidak berpuasa, ia mungkin sebenarnya sesuatu pembohongan.

Ini kerana, rata-rata penderita gastrik sendiri lebih jarang alami masalah itu pada bulan puasa dan mampu seharian menyempurnakan puasa waima ketika ada antara mereka terlepas sahur sekalipun.

Sedangkan pada bulan-bulan lain, jangankan bertahan tidak makan lebih 12 jam, bayangkan terlepas beberapa minit waktu makan pun sudah mudah mengundang pedih ulu hati, pening serta segala simptom.

Pelik bin ajaib, tetapi itulah hakikatnya berdasarkan perkongsian ramai. Penderita gastrik boleh dikatakan lebih sihat dan kuat pada bulan puasa. Kata orang, mungkin berkat bersahur, mungkin juga Tuhan ingin memudahkan ibadat hambaNya, apapun ia keanehan yang mungkin hanya Allah tahu jawapannya.

Seorang penderita gastrik dan GERD menulis di Facebook kumpulan penyakit tersebut: “Time puasa rasa kuat dah badan ni. Masuk raya kena balik simptom pening, sakit-sakit sendi, saraf, nafas pendek” dengan dipersetujui ramai pesakit serupa.

“Sama dengan saya, bulan puasa, boleh tahan dahaga, perut tidak meragam, kepala tidak hanyut pusing. Pagi raya kedua saja perut meragam,” kata pengguna lain.

“Betul tu, elok bulan puasa, tiada kena serangan,” kata seorang lagi.

Sebenarnya kelebihan puasa dari sudut kesihatan itu juga banyak. Terdapat laporan mengatakan puasa menyumbang kepada komposisi badan yang lebih baik, mengurangkan keradangan yang merupakan punca penyakit kronik seperti penyakit jantung, angin ahmar dan obesiti, menambah baik sistem kardiovaskular serta mengurangkan tekanan darah dan tahap gula.

Barang kali benarlah sepotong hadis: Perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit. Di hadis yang lain disebutkan: “Berpuasalah nescaya kalian akan sihat” meskipun taraf hadis ini dikatakan dhaif, namun perawinya begitu masyhur iaitu Abu Hurairah.

Selain itu, hal ajaib yang lain pada bulan Ramadan ialah kemampuan golongan perokok atau penagih nikotin tegar berpuasa. Mereka boleh menahan diri selama berjam-jam daripada menyentuh rokok atau vape, sedangkan pada bulan yang lain bagai suatu yang mustahil.

Bulan Ramadan juga mempunyai ‘kuasa’ menjadikan manusia lebih cenderung melakukan kebaikan dan menangguhkan perbuatan ‘kurang manis’. Buktinya, masuk sahaja 1 Syawal baru-baru ini, berjujuk artis-artis atau selebriti terus mengumum dan menayang foto tidak lagi berhijab. Tidak perlulah penulis senaraikan siapa.

Kesimpulannya, Ramadan memang suatu anugerah, semoga kita dipertemukannya lagi pada tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI