PETALING JAYA – Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) menggesa semua pihak yang terlibat dalam industri agromakanan untuk mendaftar dibawah sistem GeoTanaman bagi mengelakkan lambakan sayur.
Ketua Pengarah Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Dr. Zahimi Hassan berkata, langkah ini penting bagi mengatasi isu lambakan hasil tanaman berulang seperti di Lojing, Kelantan dan di Cameron Highlands, Pahang.
Katanya, sistem tersebut dapat membantu para petani merancang penjadualan tanaman makanan mengikut permintaan penawaran.
“Melalui sistem ini, para pengusaha dapat mengurangkan lambakan hasil dengan meluaskan ruang pasaran melalui e-dagang atau transaksi secara terus dengan pemborong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, DOA juga menawarkan khidmat pengembangan pertanian kepada para petani yang berdaftar.
“Para petani yang berdaftar melalui sistem ini (GeoTanaman) akan dikenal pasti lokasi kebun secara spesifik dan menghantar notifikasi berkaitan perkhidmatan yang diperlukan.
” Mereka juga disarankan untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan memohon pensijilan MyGAP dan merancang penjadualan tanaman mengikut kehendak pemasaran bagi memastikan hasil tanaman berkualiti,” ujarnya.
Sebelum ini, ramai petani mendakwa terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual susulan lambakan bekalan sayur import dari luar negara.
Sehubungan itu, katanya, para petani, pemborong dan pembekal input pertanian boleh mendaftar di bawah GeoTanaman secara percuma bagi memastikan ketersediaan input pertanian dan maklumat pengeluaran tanaman makanan dapat disediakan. – KOSMO! ONLINE