PETALING JAYA – Pemergian vokalis kumpulan rock tanah air XPDC Syed Ismail Syed Ibrahim meninggalkan dampak yang mendalam pada industri muzik rock tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ciapan di akaun Twitter miliknya memaklumkan, pemergian vokalis yang lebih dikenali sebagai Mael XPDC itu antara kehilangan besar dalam lapangan seni di negara ini.
“Saya utus takziah kepada keluarga Allahyarham saudara Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mael yang baru menyahut panggilan Ilahi hari ini (semalam).
“Saya turut berduka dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya di sini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Mael meninggal dunia di Hospital Muar, Johor sekitar pukul 9.30 malam semalam.
Berita duka tersebut disahkan sendiri oleh anak perempuannya, Sharifah Irfatasha.
“Adalah dengan amat sedihnya dimaklumkan bahawa bapa saya telah meninggal dunia di Hospital Muar pada Khamis, 27 April 2023, kira-kira pada pukul 9.30 malam,” tulisnya menerusi satu kiriman WhatsApp.
Difahamkan Syed Ismail, 55, telah dikejarkan ke Hospital Muar selepas diserang penyakit asma sebelum disahkan meninggal dunia tidak berapa lama kemudian. – KOSMO! ONLINE