KLANG – Seorang lelaki yang dilaporkan diri tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik dalam pembetungan saluran kabel utama di susur keluar Laguna Park, Pulau Indah di sini, disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa berusia 30-an itu berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi iaitu lapan jam dari tempoh kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang, semalam.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pengeluaran mayat mangsa dilakukan selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup arus elektrik berkuasa 33 kilovolt (kV) di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.45 malam.
Kata beliau, bekalan elektrik di lokasi tersebut adalah khas untuk kawasan kilang.
“Mangsa telah berjaya dikeluarkan bomba dengan bantuan daripada kontraktor TNB menggunakan jentera bekhoe.
“Kaki mangsa juga terputus dan terhangus akibat renjatan berkenaan. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik dalam pembetungan di Laguna Park Pulau Indah, semalam.
Mangsa berusia 30-an itu juga dikatakan kehilangan pergelangan kaki kanan dipercayai akibat renjatan tersebut. – KOSMO!ONLINE