KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Lisa Surihani mengakui pernah membeli barang hantaran secara rahsia ketika menjalani penggambaran filem Istanbul Aku Datang di bandaraya terbesar di Turkiye itu sekitar Oktober 2011.
Katanya, misi tersebut terpaksa dilunaskan secara curi-curi supaya tiada pihak dapat menghidu tarikh pernikahannya dengan suami, Datuk Yusry Abdul Halim yang berlangsung empat bulan selepas itu.
“Saya bersama rombongan produksi berada di Istanbul dalam tempoh 20 hari. Apabila ada masa senggang saya keluar cari beberapa barang hantaran untuk Yusry seperti sejadah serta manisan.
“Waktu itu ramai tahu kami bercinta sebab saya dan Yusry tak berahsia, cuma bab nikah kami perlu ikut nasihat keluarga, hebahkan apabila sudah tiba masa yang tepat.
“Jadi dalam sibuk memenuhi tugasan penggambaran di bawah arahan Bernard Chauly dengan Beto Kusyairi dan Tomok, saya pun ambil peluang cari barang ketika hari cuti.
“Lucu ingat semula momen lalu. Dalam diam sudah 12 tahun kami ke sana. Banyak kenangan sepanjang hampir sebulan berkampung di kota serba indah itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata demikian mengulas mengenai iklan bersama Beto merangkap teman gandingan dalam naskhah tersebut yang mengingatkan khalayak terhadap Istanbul Aku Datang.
Iklan yang tular itu turut membuatkan netizen meminta pihak penerbit menghasilkan kembali filem yang pernah menjadi fenomena ketika ditayangkan pada November 2012.
Tambah aktres berusia 37 tahun itu, dia turut memasang impian untuk kembali ke kota metropolis kaya dengan sejarah itu bersama suami tercinta.
“Sebenarnya itulah kali pertama saya jejakkan kaki ke Istanbul dan andai ada rezeki saya ingin kembali ke sana buat kali kedua bersama Yusry serta anak-anak,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai iklan produk bersama Beto yang tular tersebut, Lisa yang ketika itu bersama Halim berada di Madinah berasa terkejut apabila dimaklumkan ramai.
Dia juga bersetuju apabila khalayak menyatakan iklan berkenaan umpama Istanbul Aku Datang versi 2.0, kerana sarat elemen seperti filem tersebut.
“Saya tak sangka boleh viral. Waktu itu saya masih di Madinah dan terkejut sekejap. Alhamdulillah tak sangka filem yang saya anggap klasik ini punya penggemar tegar hingga ke hari ini.
“Sebenarnya itu idea pihak pemilik jenama itu sendiri. Mula-mula tengok skrip macam seakan-akan ada elemen filem Istanbul Aku Datang, sekaligus bawa kembali memori manis,” katanya yang turut menjadi peminat kopi ketika di Istanbul.
Terdahulu, Lisa dan Yusry mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith. – KOSMO! ONLINE