PETALING JAYA- Seekor anjing ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dirantai dan diseret oleh sebuah lori di Serdang Jaya baru-baru ini.
Menerusi Instagram Salehatul Khuzaimah M.Ali, diperlihatkan anjing yang berwarna hitam itu dalam keadaan terbaring dan berantai sambil diseret di belakang sebuah lori di atas jalan raya.
“Tidak dapat dipastikan sama melalui gambar ini anjing tersebut masih hidup atau pun sudah mati ketika itu.
“Saya juga tidak pasti perbuatan ini disengajakan atau tidak,” katanya.
Menurut pemilik akaun pada awalnya dia cuba bersangka baik.
“Saya cuba nak bersangka baik mungkin dia tidak perasan anjing itu diikat tetapi
perbuatan sebegini adalah tidak boleh diterima.
“Semoga kes ini dapat difailkan dengan segera dan disiasat supaya tindakan sewajarnya boleh dikenakan kepada si pelaku jika didapati bersalah,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan kejam pemandu lori yang tidak berhati perut itu.
“Astaghfirullah, anjing pun makhluk tuhan juga, kenapa kejam sangat manusia sekarang ni, otak dah hilang ke apa buat macam tu,” komen Hazwani.
“Sangat menyedihkan! Kenapa masih rakyat Malaysia ada yang tak berhati perut macam ni,” kata Lingling.
“Tolonglah, kalau nampak kejadian macam ni, ambil tindakan. Janganlah sekadar tangkap gambar dan biarkan anjing tu macam tu terus, tolonglah jadi lah manusia yang ada hati nurani sikit,” komen Nurul.
Pemilik akaun turut menggesa orang awam supaya membuat aduan dan laporan kepada pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau Lembaga Kebajikan Haiwan jika terdapat maklumat berkenaan anjing tersebut atau mana-mana kejadian yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan seperti ini. -KOSMO! ONLINE