KUALA LUMPUR – Dengan sekali lafaz, penyanyi Aiman Tino selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya, Syarah Haifa dalam sebuah majlis akad nikah, sebentar tadi.
Majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup di The Astana, Bamboo Hills, Segambut, Kuala Lumpur tersebut disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd. Azri Ahmad Kamil Al-Hafis.
Dalam majlis penyatuan hati tersebut, pelantun Ku Rela Dibenci itu menyerahkan mas kahwin sebanyak RM 5,000 dan seutas gelang emas kepada pengantin perempuan.
Manakala, jumlah wang hantaran dirahsiakan dan pasangan mempelai bersetuju tiada sebarang pertukaran dulang hantaran.
Turut kelihatan selebriti kakaknya, Fara Hazel yang hadir bagi menyaksikan majlis penyatuan penyanyi berusia 25 tahun itu bersama pilihan hatinya.
Difahamkan, majlis resepsi akan diadakan di Shah Alam, Selangor dengan menjemput 750 tetamu membabitkan kedua-dua belah keluarga pada 6 Mei ini.
Sekitar Januari lalu, penyanyi bertubuh genit itu berkongsi berita gembira berkenaan acara merisik yang hanya membabitkan kehadiran ahli keluarga terdekatnya.
Menyingkap bibit pertemuan Aiman dan Syarah, mereka diperkenalkan seorang rakan kawan pada 2019 sebelum sepakat menjadi rakan perniagaan dan menjalin percintaan. -KOSMO! ONLINE