PARIT BUNTAR – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang akan mengeruhkan lagi keadaan susulan penemuan mayat seorang lelaki di dalam longkang di Jalan Persiaran Kerian Permai di sini petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan berkata, hasil proses bedah siasat yang dilakukan di unit forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati, punca kematian tidak dapat dikenal pasti.
“Beberapa spesimen diterima dan dihantar ke Jabatan Kimia di Ipoh bagi membantu keseluruhan siasatan. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat yang dijumpai di dalam longkang tersebut merupakan seorang lelaki Melayu berusia 19 tahun yang hilang pada hari raya ketiga yang lalu.
“Ahli keluarganya telah datang membuat laporan tentang kehilangan anaknya, Mohamad Arif Zakuan Mohd. Redzuan di Balai Polis Parit Buntar pada petang semalam.
“Susulan daripada laporan yang dibuat, pihak polis bersama-sama ahli keluarga telah menjalankan usaha mencari di kawasan terakhir anak lelakinya berada sebelum ditemui terbaring di dalam longkang di kawasan Taman Kerian Permai,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati, kira-kira pukul 10.30 malam raya ketiga, Mohamad Arif Zakuan yang merupakan seorang pemegang kad orang kurang upaya bersama sepupunya dalam perjalanan pulang dari berhari raya di kawasan taman tersebut.
“Mohamad Arif Zakuan menunggang motosikal secara berseorangan telah membuang motosikal yang ditunggangnya dalam perjalanan pulang secara tiba-tiba dan terus berlari menuju ke arah Persiaran Jalan Permai seolah-olah dalam ketakutan dan menyebabkan sepupu dan rakannya tidak dapat mengejar kelibatnya dan tidak tahu ke mana dia menghilang,” katanya.
Tambahnya, setelah gagal mencari sendiri dan menemu mangsa, ahli keluarganya bertindak meminta bantuan pihak polis.
“Siasatan lanjut Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian mendapati tiada unsur perlakuan jenayah di tempat kejadian. Saya menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE