MILAN – Inter Milan melangkah ke pentas final Piala Itali menerusi agregat 2-1 ke atas Juventus selepas mencatat kemenangan 1-0 pada separuh akhir kedua di San Siro awal pagi semalam.
Jurulatihnya, Simone Inzaghi memuji barisan pemain, terutama Federico Dimarco yang meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-15 selepas terdahulu seri 1-1 sewaktu aksi pertama di Stadium Allianz awal bulan ini.
Pengendali berusia 47 tahun itu berbangga dengan pencapaian ditunjukkan musim ini biarpun terlepas peluang untuk merampas semula kejuaraan Serie A dimenangi dua musim lalu.
Ia berdasarkan Inter berpotensi untuk beraksi dalam satu lagi aksi final iaitu Liga Juara-Juara jika berjaya menumpaskan seteru tradisi, AC Milan di peringkat separuh akhir bulan depan.
“Kami sangat gembira dengan keseluruhan musim ini. Kami layak untuk melangkah ke perlawanan akhir dan bersedia untuk memastikan kejuaraan ini (Piala Itali) kembali ke Milan.
“Semua pemain memainkan peranan penting. Mereka tidak hilang fokus walaupun bertemu lawan sukar seperti Juventus dan inilah yang membolehkan kami melakar kemenangan.
“Dua pencapaian ini (final Piala Itali dan separuh akhir Liga Juara-Juara) adalah definisi prestasi cemerlang kami dalam musim ini. Ia lebih indah jika berakhir dengan kejayaan,” kata Inzaghi.
Kini, Inter perlu memastikan mereka dapat mengumpul mata maksimum dalam baki tujuh perlawanan Serie A untuk melonjak ke kelompok empat teratas dari kedudukan keenam ketika ini. –AGENSI