Ramadan berlalu, Syawal pula tiba untuk diraikan umat Islam. Sambutan Aidilfitri tidak lengkap dan bertambah meriah jika ada yang berkongsi rezeki dengan memberi duit raya.
Bercerita berkenaan duit raya, jangan terkejut jika ada anak-anak mendapat duit raya sehingga ribuan ringgit. Malah, tanpa berkunjung ke rumah saudara-mara sekalipun, mereka boleh mendapat duit raya dengan mengimbas kod QR.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka diamanahkan untuk menyimpan duit raya terutama bagi anak yang masih kecil.
Justeru, ia perlu dikawal sepenuhnya agar dapat memberi manfaat kepada anak-anak untuk hari-hari mendatang.
Bagi anak-anak yang bersekolah, mereka pasti seronok mendapat duit raya banyak dan memasang cita-cita untuk membeli permainan dan berbelanja mengikut kemahuan mereka.
Jadi ibu bapa perlu memainkan peranan menasihati anak-anak dan bertegas supaya mereka tidak berbelanja mengikut nafsu. Tambahan pula, ada segelintir ibu bapa yang meminjam atau mnggunakan duit anak mereka kerana berdepan masalah kewangan.
Jika terguna duit raya anak, maka perlu digantikan dengan segera dan simpan di tempat yang boleh memberi keuntungan kepada mereka kelak.
Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi berkata, ibu bapa perlu mengambil maklum bahawa duit raya adalah hak mutlak anak-anak.
Katanya, ibu bapa sebagai penjaga perlu bertanggungjawab menguruskan wang tersebut dengan sebaik mungkin.
“Ibu bapa perlu memupuk sikap menabung dalam diri anak-anak sejak dari kecil dan galakan tersebut boleh dimulakan dengan menabung secara fizikal bagi menaikkan semangat anak-anak untuk menyimpan.
“Pertama, golongan ibu bapa boleh mewujudkan tabung fizikal untuk setiap anak. Saya galakkan untuk membeli tabung lutsinar kerana anak-anak boleh melihat duit yang mereka simpan setiap hari.
“Amalan ini bukan sahaja sekadar pada musim raya, bahkan ia juga boleh dipraktikkan untuk tabung seharian,” katanya yang juga Perunding Kanan INFAQ Consultancy ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Seterusnya, beliau juga menyeru ibu bapa untuk menyimpan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji bagi mengembangkan duit berkenaan.
Ujarnya, kedua-dua institusi itu menawarkan dividen hingga lima peratus setahun selain mengurangkan risiko ‘terguna’ dan hilang.
“Dua atau tiga bulan sekali bawa anak-anak ke Tabung Haji, ajar bagaimana untuk menyimpan duit. Biar mereka merasai sendiri pengalaman menyimpan dan lihat simpanan yang semakin bertambah.
“Melihat statistik rakyat Malaysia, majoriti besar tiada wang simpanan yang mana akaun bank mereka hanya menjadi ‘tempat parkir’ duit. Masuk duit terus keluar, kita tidak mahu duit raya anak-anak jadi perkara yang sama,” ujarnya.
Sehubungan itu, Afyan juga menyarankan ibu bapa untuk menabung di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kerana duit tidak boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya dan bagus sebagai persedian pendidikan anak-anak kelak.
Menurutnya, simpanan untuk pendidikan selalu diberi penekanan kerana kos pendidikan semakin tinggi saban tahun.