PUTRAJAYA – Diancam peluru sesat dan pengalaman berlindung di tengah-tengah kawasan peperangan adalah antara detik paling sukar dihadapi rakyat Malaysia di Sudan.
Itu antara pengalaman mengerikan dikongsi rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan beberapa hari lalu sebelum mereka berjaya di bawa keluar dari negara bergolak itu.
Detik cemas itu dikongsi semula oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada sidang akhbar hari ini.
“Saya dimaklumkan, pada hari raya pertama dan kedua, peluru-peluru sesat dikesan menembusi tingkap di kompleks itu dimana di dalamnya kakitangan kedutaan sedang berlindung.
“Bagaimanapun, mereka terselamat dan tiada kecederaan. Mereka akhirnya berjaya di bawa keluar dari kompleks itu menuju ke Rumah Malaysia Sudan ketika tempoh genjatan senjata selama tiga jam dan ia suatu keadaan yang amat berisiko dimana jarak perjalanan dari kompleks ke Rumah Malaysia mengambil masa selama empat jam,” katanya.
Katanya lagi, risiko terbesar dihadapi rakyat Malaysia di Sudan adalah terpaksa menempuh perjalanan selama 30 jam dari Khartoum ke Port Sudan untuk ke Jeddah.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Kompleks Petronas di Sudan diambil alih secara paksa oleh pasukan separa tentera dan dijadikan pusat pemerhatian mereka. – KOSMO! ONLINE