IPOH – Gerak hati seorang bapa yang merasakan anak lelakinya telah tiada benar-benar menjadi kenyataan apabila mangsa ditemukan tidak bernyawa di dalam longkang berhampiran Taman Kerian Permai, Parit Buntar semalam.
Mayat Mohammad Arif Zakuan Mohd. Redzuan, 20, yang juga orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran dijumpai ketika operasi pencarian dijalankan selepas dia dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu.
Bapa mangsa, Mohd. Redzuan Md. Hanafiah, 41, berkata, rasa tidak sedap hati mengenai keadaan anak sulung daripada enam beradik itu telah pun disuarakan kepada ibu mentuanya pagi semalam.
“Sebagai ibu bapa, sudah tentu saya mahu lihat anak saya selamat. Perkara yang buruk saya elakkan untuk berfikir, saya hanya mahu fikir yang baik-baik sahaja.
“Tapi pagi semalam, hati saya sudah terdetik perkara buruk, saya memang rasa anak sudah tiada. Saya beritahu ibu mentua hal itu dan tidak sangka pula gerak hati saya betul.
“Jadi, bila tengok anak (sudah tiada), hati rasa sangat kecewa kerana harapan saya musnah. Sebagai bapa, saya okey lagi, tapi ibunya sudah tentu sedih, tambahan pula dia turut sama mencari anak kami semalam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Menurut Mohd. Redzuan, kali terakhir dia melihat anaknya itu pada Isnin lalu pukul 6 petang sebelum lelaki terbabit keluar dari rumah mereka di Kampung Telok, Nibong Tebal, Pulau Pinang untuk beraya.
Katanya, kehilangan Mohammad Arif Zakuan hanya disedari selepas dia dimaklumkan anak saudaranya keesokan hari pada sebelah petang. – KOSMO! ONLINE