fbpx

Ops Pantau: 374 peniaga gagal patuhi undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 374 peniaga dilaporkan gagal mematuhi undang-undang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2023 yang dilaksanakan bermula 23 Mac hingga 21 April 2023.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, ia melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun bernilai lebih RM60,200.

“Berdasarkan statistik Ops Pantau 2023, sebanyak 66,701 premis diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 374 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM60,200.00.

“Sebanyak 1,127 aduan oleh pengguna juga telah diterima dalam tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, pelaksanaan operasi itu bertujuan memastikan tahap pematuhan tinggi peniaga serta mewujudkan persekitaran perdagangan kondusif selain membantu rakyat mengurangkan impak peningkatan kos ketika Ramadan dan Aidilfitri.

“Ia dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan dan Aidilfitri selain pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian.

“Pemeriksaan di bawah Ops Pantau turut memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan dan cetak rompak.

“Selain itu, ia juga meliputi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) Tahun 2023, isu halal dan penjualan barang-barang keperluan Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.

Azman menambah, pihaknya juga akan menggiat aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan di seluruh negara serta mengingatkan semua peniaga agar mematuhi segala perundangan yang dikuatkuasakan meskipun Ops Pantau 2023 telah tamat tempoh bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI