fbpx

15,000 penduduk Kampung Melayu rai Aidilfitri 5 malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salim (tengah) menghulurkan duit raya kepada anak-anak Kampung Melayu, Pulau Pinang malam tadi. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Kemeriahan sambutan Aidilfitri menerusi majlis Havoc Raya yang berlangsung selama lima malam bermula 1 Syawal lalu berjaya menghimpunkan kira-kira 15,000 penduduk Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Lebih menarik lagi, pelbagai aktiviti seperti pertandingan pakaian beragam, karaoke, cabutan bertuah dan dekorasi rumah raya turut dianjurkan sekali gus memeriahkan lagi program yang sudah berlangsung sejak 26 tahun lalu.

Penganjur majlis, Salim Abdul Rahman berkata, program berkenaan bukan sahaja mengeratkan silaturahim sesama penduduk malah membentuk semangat muafakat antara kaum.

“Saya teruja dan gembira kerana berpeluang menganjurkan program sebegini kerana ia menjadi platform untuk menyatukan kita semua terutamanya anak-anak jati Kampung Melayu dan kehadiran penduduk juga kali ini luar jangkaan dan lebih ramai daripada biasa biarpun pernah terhenti seketika ketika Covid-19 melanda dunia.

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur program berjalan dengan lancar dan semua penduduk berpeluang meluangkan masa meraikan Aidilfitri bersama kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Salah seorang penduduk, Nursyuhani Che Husain, 28, berkata, program terbabit bukan sahaja berpeluang berkumpul secara beramai-ramai malah dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga.

“Diharapkan program ini dapat diteruskan lagi susulan ia sudah menjadi ‘trademark’ penduduk Kampung Melayu yang meraikan Aidilfitri dengan meriah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI