JERANTUT – Enam buah rumah rosak teruk dibadai ribut dalam kejadian di Felda Kota Gelanggi Dua dan Felda Kota Gelanggi Empat di sini petang semalam.
Kejadian ribut yang disusuli hujan lebat bermula kira-kira pukul 5 petang itu menggemparkan penduduk yang masih berhari raya dengan bertandang ke rumah jiran dan rakan di tanah rancangan Felda berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 30 minit itu menyaksikan rumah penduduk terbabit tercabut pada bahagian bumbung dengan atap zink diterbangkan ribut sejauh kira-kira 20 meter.
Seorang penduduk Felda Kota Gelanggi Dua, Mohd Fazli Sulaiman berkata, ketika kejadian, dia berada seorang diri di dapur rumahnya sambil minum petang sebelum tiba-tiba ribut melanda disusuli dengan hujan lebat.
“Saya menjengah keluar, kelihatan ribut yang kuat seakan-akan memulas dan hampir mencabut batang pokok durian di belakang rumah, kemudiannya disusuli bunyi yang kuat di bahagian bumbung rumah.
“Enam keping atap diterbangkan ribut kira-kira 20 meter dari rumahnya, manakala sebahagian bumbung yang baru dibina turut tercabut,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu seorang lagi penduduk, Mohd Nor Faizal Ramli berkata, ketika kejadian, dia dan keluarganya tidak berada di rumah dan mengetahui mengenai insiden tersebut setelah dihubungi jiran.
“Saya bergegas pulang dan mendapati bahagian bumbung rumah dan beberapa keping atap diterbangkan angin dan ketika berziarah di rumah rakan, saya sudah menjangkakan bencana ini akan berlaku memandangkan cuaca yang agak buruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE