GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan bertemu dengan UMNO negeri buat kali pertama pada minggu depan untuk membincangkan soal agihan kerusi serta isu-isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada UMNO untuk mengadakan perjumpaan berhubung persediaan untuk berdepan PRN.
“PH akan mengadakan perjumpaan pada minggu ini, kemudian perjumpaan dengan UMNO akan diadakan dalam minggu depan dan lokasi perjumpaan dengan UMNO masih belum ditentukan, tetapi sudah tentu di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, perjumpaan berkenaan hanya akan berlangsung dengan pemimpin UMNO sahaja dan bukannya daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Perjumpaan ini tidak melibatkan parti komponen BN lain kerana kita hanya terima permohonan mesyuarat daripada UMNO Pulau Pinang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE