SHAH ALAM – Kemeriahan syawal bagi lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah, Batang Kali dekat sini terjejas apabila menerima notis pengusiran rumah pada sehari sebelum dan pagi Hari Raya Aidilfitri.
Notis dari mahkamah tersebut diterima daripada wakil sebuah syarikat yang telah diberikan hak milik bagi kawasan tanah rizab tersebut yang didakwa untuk tujuan pembinaan loji kumbahan najis bagi kawasan perumahan berhampiran yang akan dibina syarikat itu.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung itu, Maszahar Hashim,59, berkata, penduduk telah tinggal di situ sejak 40 tahun lalu dengan permohonan geran tanah telah dilakukan sejak 2006 namun ditolak atas alasan merupakan tanah rizab simpanan Sungai Serendah dan kawasan banjir.
Katanya, bagaimanapun agak mengejutkan apabila dimaklumkan tanah kawasan kampung seluas 0.8 hektar itu telah diberikan kepada sebuah syarikat pemaju perumahan tanpa apa-apa penjelasan selepas permohonan dibuat sekali lagi oleh penduduk pada 2012.
“Kami mendapat notis supaya dikosongkan pada 2 Mei ini atau mereka (syarikat berkenaan) akan mengosongkan sama ada robohkan dan sebagainya.
“Jadi, kami minta Menteri Besar Selangor supaya campur tangan. Ini kerana cara pemprosesan mereka ( syarikat yang diberikan hak milik) dapat dulu dilihat seperti ada yang tidak kena,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Maszahar telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang diterima Penolong Setiausaha Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Norbaini Zainuddin di pintu masuk bangunan SUK di sini.
Maszahar menjelaskan peguam dilantik penduduk sebelum ini telah memfailkan rayuan tangguh pindah untuk .beberapa siri notis diterima pada Julai dan Ogos tahun lalu.
Ujarnya, malah rayuan juga telah dibuat kepada Mahkamah Rayuan namun belum belum mendapat tarikh mahkamah bagi mendengar kes tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk, Siti Zaharah Zakaria, 42, melahirkan rasa terkilan apabila menerima notis itu pada pagi raya.
“Siapa tidak sedih dan marah dengan sepatutnya Aidilfitri disambut meriah namun kami pilu dengan nasib ini.
“Kami ini sudah kritikal dan kalau di hospital, kampung kami sudah dikenakan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR),” katanya yang merupakan jururawat kerajaan.
Rakan sekampungnya pula, Raika Mohd. Hakim, 37, runsing memikirkan nasib keluarganya kerana tiada tempat tinggal sekiranya kediaman dirobohkan.
“Kami bukan orang kaya dengan suami bekerja sebagai pekerja kilang selain mempunyai empat anak. Harap Menteri Besar bantu kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE