KUALA LUMPUR – Kemudahan penginapan sementara disediakan kepada 19 kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam insiden tanah runtuh di luar bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta, di sini, lelmarin.
Bagaimanapun, perancangan membaik pulih runtuhan tanah itu berkemungkinan mengambil masa sehingga dua minggu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad berkata, kemudahan sementara itu disediakan untuk memastikan kakitangan MACA tidak terganggu dengan insiden itu.
“Setelah berbincang termasuk bersama Timbalan Pesuruhjaya SPRM, kami membuat keputusan untuk memberikan kemudahan penginapan kepada kakitangan-kakitangan SPRM yang terbabit.
“Kita sediakan 19 buah rumah kepada mereka ini kawasan-kawasan berdekatan tempat kerja mereka. Jadi isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini,” katanya selepas membuat lawatan di tapak runtuhan, di sini hari ini.
Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Idris Zaharudin.
Zulkapli berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan membuka jalan alternatif untuk memudahkan urusan kakitangan MACA.
“Kita juga akan menyediakan fasiliti lain untuk memastikan kerja-kerja dan operasi MACA dan agensi lain yang terbabit berjalan seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dipetik berkata, hasil siasatan awal mendapati tiga tahun lalu turut berlaku gelinciran tanah di lokasi yang sama dan banggunan MACA juga sudah berusia hampir 40 tahun.
Tambah beliau, kerja pemasangan cerucuk besi dan binaan jalan baharu akan dilakukan bagi memfokuskan urusan pindah keluar kenderaan milik kakitangan banggunan tersebut yang tersadai.
Menurut Eng Lai, kejadian berpunca takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta paip bawah tanah yang pecah, turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh. -KOSMO! ONLINE.