RANTAU PANJANG – Seorang jururawat berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbakar selepas merempuh tiang elektrik di Jalan Kampung Tok Deh, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Sabrina Abdul Rahman, 44, sempat mematikan enjin MPV jenis Perodua Alza sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri selepas melihat api membakar kenderaan tersebut.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd. Razali Mohamad Noor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Klinik Kesihatan Tok Deh, di sini sebelum MPV dipandunya terbabas.
“Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.07 pagi dan tujuh anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu MPV itu berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd.Razali memberitahu, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran MPV yang hampir 100 peratus terbakar.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan jumlah kerugian masih belum dapat ditafsirkan. – KOSMO! ONLINE