TIGA kemenangan yang diraih di gelanggang lawan memberikan keyakinan buat Selangor untuk membawa pulang tiga lagi mata penuh pada aksi bertemu Sabah di Stadium Likas, malam ini.
Sepuluh gol yang dihasilkan sepanjang tiga aksi itu menyerlahkan keseimbangan Gergasi Merah untuk menyerap tekanan di laman lawan, malah pengendalinya, Tan Cheng Hoe juga pasti lega kerana pemainnya sentiasa bersaing secara sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Selepas Sharul Nazeem Zulpakar mengukuhkan kedudukannya dalam kesebelasan utama, seorang lagi pertahanan muda Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar mahu turut serta membantu pasukan musim ini.
“Sebagai pemain muda, saya tidak ada masalah jika dikelilingi pemain senior lain kerana mereka sentiasa membantu dan berikan saya semangat.
“Saya juga mahu buktikan kepada jurulatih yang saya mampu berada dalam kesebelasan utama, tetapi perkara paling penting adalah kemenangan pasukan,” katanya.
Ketika ini, Selangor sedang berada pada prestasi terbaik dengan merekodkan lima kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Sri Pahang 4-0 di saingan Piala FA.
Selain tonggak kebangsaan, Faisal Halim, bintang importnya, Ayron del Valle dijangka jadi taruhan terbaik untuk menghadirkan kemenangan kelapan musim ini buat Selangor, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan untuk cuba menekan Johor Darul Ta’zim (JDT).