SEBERANG PERAI – Seorang pemandu Grab warga emas kerugian wang lebih RM10,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud semalam.
Mangsa, lelaki beruisa 63 tahun dari Bayan Lepas dekat sini terjerat dalam penipuan itu selepas melihat iklan pinjaman wang berlesan di laman sosial Facebook baru-baru ini yang kononnya dibuat oleh pihak bank.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah meninggalkan maklumat peribadinya dan berminat membuat pinjaman sebanyak RM15,000.
“Dia kemudiannya dihubungi seorang lelaki yang mendakwa sebagai ejen bank dan diminta membuat bayaran proses serta pengaktifan akaun terlebih dahulu.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan wang menerusi empat transaksi ke dalam tiga akaun bank yang kesemuanya berjumlah RM10,360 kepada suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas pihak bank yang dia hubungi memaklumkan tidak pernah mengiklankan sebarang tawaran pinjaman wang melalui media sosial.
Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, seorang kerani wanita di Kepala Batas di sini kerugian RM3,050 selepas turut terjerat dalam satu sindiket pinjaman wang ketika mahu membuat pinjaman sebanyak RM15,000.
“Mangsa berusia 31 tahun melihat iklan yang kononnya peminjam wang berlesan ketika membuat carian di aplikasi Google dan berhubung dengan seorang ejen wanita yang menawarkan pinjaman peribadi mudah lulus.
“Dia membuat dua transaksi pembayaran ke dalam dua akaun sebelum sedar ditipu selepas ejen itu berterusan meminta wang,” katanya lagi.
Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE