KOTA KINABALU – Ekoran mengalami sindrom akut gunung (AMS), seorang pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ranau awal pagi semalam.
Alexzander Kueh Check Boo, 45, disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS dalam kejadian sekitar pukul 4.30 pagi itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu pada Isnin dan tiba di Panalaban, namun dipercayai mengalami AMS.
“Kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira pukul 9 malam.
“Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) sudah memberikan oksigen sebagai pertolongan cemas, tetapi pasukan penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate pada pukul 10 malam untuk dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot.
“Mendiang turut diusung ke Timpohon dan dibawa ke hospital yang sama, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Mengulas lanjut, Christina memaklumkan sudah meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah kementeriannya membantu keluarga mangsa.
Menurut beliau, keadaan isteri mendiang stabil selepas sembuh daripada AMS. – KOSMO! ONLINE