SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Lencongan Timur, berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini malam tadi.
Pemandu kereta Proton Waja itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.27 malam tadi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat lima kenderaan terdiri daripada Proton Waja, Mercedes Benz, BMW, Perodua Myvi dan Nissan X Trail mengalami kerosakan akibat dihempap pokok.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta Proton Waja berusia lingkungan 50-an meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, terdapat beberapa pemandu dan penumpang kenderaan mengalami kecederaan, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan.
“Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Aman Jaya serta dibantu 14 anggota sukarela menggunakan tiga jengkaut milik kontraktor THB dan peralatan menyelamat berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dari kenderaan masing-masing,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke HSAH untuk bedah siasat.
Sementara itu, kejadian ribut melanda beberapa lokasi termasuk Sungai Petani mengakibatkan premis rosak serta banyak pokok tumbang. – KOSMO! ONLINE