MUNICH – Kedudukan jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel dilaporkan sudah berada di hujung tanduk biarpun belum sampai 10 perlawanan bersama pasukan itu sejak dilantik pada 25 Mac lalu.
Pengurusan tertinggi Bayern dilaporkan bimbang dengan situasi pasukan apabila berdepan kemungkinan menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang trofi biarpun pada awalnya mereka berpeluang memenangi trebel.
Aksi sulung Tuchel bersama Bayern dianggap cukup gah apabila menang 4-2 ke atas Borussia Dortmund, namun prestasi The Bavarians makin merudum apabila tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara serta DFB Pokal.
Legenda Bayern Munich, Dietmar Hamann percaya posisi Tuchel sebagai jurulatih Bayern semakin terancam, lebih-lebih lagi mereka terlepas cengkaman selaku pendahulu Bundesliga kepada Dortmund.
“Barisan kepimpinan mungkin keliru dengan situasi yang berlaku pada ketika ini, begitu juga jurulatih. Sekiranya beliau (Tuchel) mempertaruhkan kejuaraan (Bundesliga), saya dapat lihat kedudukannya semakin tidak selamat.
“Saya tidak pernah lihat sesebuah pasukan beraksi teruk seperti ini selepas pertukaran jurulatih. Bagaimanapun, itulah yang sedang berlaku di Bayern pada ketika ini dan kami perlu menerimanya,” kata beliau.
Sekiranya Bayern terus menampilkan aksi hambar, mereka mungkin turut terlepas gelaran Bundesliga memandangkan Dortmund memiliki kelebihan satu mata dengan aksi liga hanya berbaki lima perlawanan. – AGENSI