fbpx

Kemurahan hati Sultan Terengganu tambat hati rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULTAN MIZAN (tengah) berkenan mengurniakan sumbangan kepada penerima pada Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada 13 April lalu.

KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu pelbagai latar belakang merafak sembah ucapan tahniah terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-61 hari ini.

Mereka turut mengutus doa agar pemerintahan baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terus berjalan lancar, aman dan sejahtera.

Seorang ibu tunggal, Rohani Mat Amin, 50, berkata, dia sangat terharu dengan keprihatinan baginda yang berkenan mengurniakan sumbangan kepada lebih 1,000 fakir miskin dan ibu tunggal termasuk dirinya menerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) baru-baru ini.

“Saya yang mempunyai lima anak berusia lapan hingga 19 tahun telah kematian suami dua tahun lalu. Sumbangan YDSM ini amat membantu saya membuat persiapan raya.

“Rakyat sembah maklum Sultan Mizan sangat proaktif membantu golongan memerlukan lebih-lebih lagi pada Ramadan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rohani berdoa agar baginda sentiasa sihat walafiat serta terus memerintah negeri ini dengan adil dan mengikut syariat Islam.

Sementara itu, Muhammad Adam Danial Azman, 15, pula berkata, pemberian bantuan terhadap golongan susah, anak yatim, ibu tunggal dan pelajar melalui YDSM telah menyerlahkan kemurahan hati Sultan Mizan.

“Alhamdulillah, saya yang merupakan pelajar sekolah pondok juga terpilih menerima kurniaan baginda untuk Hari Raya Aidilfitri kali ini,” katanya.

Muhammad Faruqi Fauzi, 17, pula teruja menerima sumbangan daripada YDSM yang dinaungi Sultan Mizan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir itu menganggap momen tersebut sebagai kenangan terindah dan sukar dilupakan dalam lipatan hidupnya.

“Sultan Mizan adalah sultan kesayangan rakyat. Baginda sangat menitikberatkan pendidikan agama dari usia kanak-kanak hingga warga emas.

“Sebagai generasi muda saya mendoakan agar perpaduan umat Islam di negeri ini terus kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof memberitahu, lebih RM700,000 telah diperuntukkan untuk mengimarahkan masjid dan surau serta menghulur sumbangan kepada golongan fakir miskin sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini.

“Harap sumbangan ini dapat menceriakan mereka seterusnya merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.

“Ini adalah selaras dengan matlamat utama YDSM mahu membantu ke arah mempertingkatkan sosio ekonomi rakyat negeri ini seperti dihasratkan Sultan Mizan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI