KUALA TERENGGANU – Kesungguhan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memartabatkan dakwah dan syiar Islam di negeri ini mendapat sanjungan tinggi rakyat jelata.
Salah seorang pendakwah tempatan, Mohd. Zaki Mat Yakim berkata, sejak ratusan tahun dahulu, Terengganu dikenali sebagai negeri yang banyak melahirkan tokoh ulama selain pernah menjadi pusat penyebaran Islam terkenal di rantau ini.
Beliau berkata, polisi pentadbiran diamalkan Sultan Mizan yang memberi penekanan terhadap usaha dakwah telah mengekalkan keunggulan Terengganu sebagai negeri ‘serambi Madinah’ sehingga hari ini.
“Jika kita lihat sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, semua aktiviti ibadah di masjid dan surau telah diatur dengan baik untuk umat Islam menyambut dan mengimarahkan bulan mulia tersebut mengikut acuan Islam sebenar.
“Masjid-masjid di negeri ini juga menjadi tumpuan pihak luar yang berkunjung bagi menghayati ketibaan Ramadan dengan melakukan ibadah seperti solat sunat tarawih serta qiamullail,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mohd. Zaki berkata, Sultan Mizan selaku ketua agama Islam di negeri ini juga tidak putus-putus menyokong sebarang aktiviti dan perancangan positif dalam memartabatkan Islam.
Sementara itu, Pengasas dan Timbalan Mudir Madrasah Darul Zahraa, Muhammad Abdullah menjunjung kasih keprihatinan Sultan Mizan yang sangat mengambil berat situasi semasa umat Islam di Terengganu.
Jelas beliau, bagi melihat sendiri kehidupan rakyat jelata termasuk di kawasan pedalaman, baginda sering meluangkan waktu menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri ini.
“Setiap kunjungan berkenaan, baginda sering bertanyakan ahli jawatan kuasa pengurusan masjid terlibat tentang sebarang keperluan atau permasalahan mereka.
“Baginda sentiasa mahu melakukan penambahbaikan yang membolehkan jemaah setempat dapat menunaikan ibadah dengan selesa,” katanya.
Muhammad berkata, Sultan Mizan juga sentiasa bertegas memastikan keutuhan perpaduan umat Islam di Terengganu.
Tambah beliau, sebarang elemen yang boleh memecahbelahkan semangat kekitaan umat Islam di negeri ini sentiasa dicegah oleh baginda.