JOHOR BAHRU – Jauh disudut hati penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Kaseh mahu merasai belaian kasih insan tersayang sama seperti kanak-kanak dan remaja lain di luar sana.
Namun apakan daya, hidup mereka ditakdirkan hanya mampu menumpang kasih guru serta penjaga di rumah perlindungan yang terletak di Larkin, di sini.
Seorang penghuni, Mohd. Shahir Haikal Abdullah, 16, menzahir rasa rindu belaian dan perhatian ibu dan bapa seperti remaja lain.
“Semasa berusia enam tahun, selepas bapa meninggal dunia saya dan dua lagi adik dijaga ibu. Masa itu saya masih belum ingat bagaimana wajah ayah.
“Ketika umur 11 tahun, saya serta dua lagi adik, Mohd. Azfar Zulfadli, 10, dan adik berusia tiga tahun ‘terpaksa’ diambil oleh mami (pengasas Rumah Perlindungan Fitrah Kaseh) kerana kehidupan emak agak sukar.
“Sekarang sudah lebih enam tahun saya di sini, seronok ada kawan-kawan, mami. Kalau diberi peluang, saya ingin hidup seperti orang lain, dijaga ibu sendiri, ada ayah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Seorang lagi penghuni, Puteri Nur Fatihah Liyana Abdullah, 17, turut mencurahkan cerita pilu apabila dihantar bapanya ke rumah perlindungan itu pada usia 14 tahun.
Ujarnya, ketika itu, dia ingat bapanya membawanya untuk keluar berjalan-jalan ke rumah saudara, namun setelah sampai di Rumah Perlindungan Fitrah Kaseh, dia ditinggalkan dan diambil oleh Camelia Arifin, 39, pengasas rumah itu untuk dijaga.
“Masa itu saya tertanya-tanya kenapa saya dihantar ke sini. Apabila diberitahu, bapa minta saya dijaga di sini, saya akur.
“Saya bersyukur dapat tumpang kasih di sini. Kalau di luar sana mungkin saya tidak bersekolah dan perjalanan hidup tak tentu arah sebab kami ada masalah keluarga,” ujarnya.
Tambahnya, setiap kali Ramadan dan Syawal, hatinya merindui saat-saat bersama keluarga sama ada berbuka puasa dan menyambut hari raya.
Dalam pada itu, pengurus Rumah Perlindungan Fitrah Kaseh, Nurain Sebli berkata, pusat perlindungan itu dibuka sejak tahun 2010 oleh pengasas yang juga ahli perniagaan, Camelia.
Ujarnya, sehingga kini seramai 84 penghuni terdiri daripada kanak-kanak berusia tiga sehingga 17 tahun yang kebanyakan yatim piatu, asnaf serta dalam kalangan keluarga bermasalah termasuk gelandangan.
Katanya, rumah perlindungan itu berdaftar dan dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah menerima bantuan daripada Baitulmal.
“Alhamdulillah, selepas lebih 10 tahun beroperasi, kita dapat menjaga anak-anak kurang bernasib baik dengan lebih terjamin.
“Kami mengalu-alukan orang ramai tampil menyalurkan sumbangan dari segi kewangan, moral dan sebagainya. Boleh hubungi saya di talian 019-5480 883,” katanya. -KOSMO! ONLINE