KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk pelakon Boy Iman didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung satu program festival raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Bagaimanapun keempat-empat tertuduh iaitu Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 43, Nor Azmi Jantan, 49, serta dua lagi wanita Norazah Sahud, 51, dan Norzana Rapie @ Rafie, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Noorelyanna Hanim Abdul Halim.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa telah menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdaya mangsa dalam penjualan tapak perniagaan (booth) atau penyewaan tapak sempena festival Horay X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM1,500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di WTC di sini pukul 2.34 pagi pada 19 April lalu yang didakwa mengikut Seksyen 420 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun peguam Mohamad Syakir Mohamad Fawzi yang mewakili Boy Iman dan Nor Azmi memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan kedua-dua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Sementara peguam Earnest Azad yang mewakili Norazah dan Norazana turut memohon mengurangkan ikat jamin dengan alasan yang sama.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh 13 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sebelum didakwa, Boy Iman ketika dibawa ke mahkamah sempat meluahkan rasa apabila mendakwa dirinya teraniaya dengan kejadian itu.
“Doakan saya ya…teraniaya ni,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan lima individu termasuk pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung festival beli-belah Syawal, Hooray X Fest Raya yang dibatalkan saat-saat akhir.
Karnival jualan sempena Aidilfitri yang sepatutnya bermula 19 April lalu di WTC dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri.
Sebelum ini turut dilaporkan Boy Iman dikaitkan dengan penipuan apabila namanya terpalit dalam satu program besar di WTC.
Program jualan raya Hooray x Fest Raya itu sepatutnya berlangsung pada 19 April sehingga 21 April namun telah dibatalkan pada saat akhir.
Bagaimanapun menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh Pengurus Hal Ehwal Awam WTCKL, pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan dan menyatakan pihaknya tidak bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian. – KOSMO! ONLINE