GEORGE TOWN – Operasi pembenihan awan akan dijalankan untuk mendorong hujan lebat di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Teluk Bahang di sini pada penghujung April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan dalam operasi tersebut dan aturan sedang dibuat untuk wakil PBAPP menyaksikan sendiri operasi pembenihan awan.
Menurutnya, PBAPP akan melaporkan hasil daripada gelombang pertama operasi pembenihan awan selesai, yang berkaitan dengan status empangan.
“Harap maklum bahawa ia akan mengambil masa beberapa hari, selepas misi pembenihan awan TUDM dijalankan untuk hujan berlaku dan air hujan mengalir ke empangan.
“Bergantung pada keputusan dan keadaan, PBAPP juga boleh memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membiayai gelombang kedua operasi pembenihan awan tambahan bagi menambah rizab empangan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei untuk gelombang pertama operasi yang akan dijalankan di Pulau Pinang bagi tahun ini.
“Keadaan cuaca harus sesuai untuk memaksimumkan kesan operasi pembenihan awan.
“Objektif utama adalah untuk mendorong hujan lebat di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, hujan lebat diperlukan untuk mengisi semula empangan ini dengan air mentah sebanyak mungkin,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE