TUMPAT – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mencemar duli hadir ke majlis Hari Raya With Me Aidilfitri Tahun 2023 untuk menyambut lebaran bersama lebih 3,000 rakyat di Padang Kemahkotaan, Pantai Ndo di sini hari ini.
Baginda tiba kira-kira pukul 6.25 petang dengan diiringi Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah.
Turut berangkat ke majlis tersebut adalah bonda baginda yang juga Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan pasangan, Che Puan Mahkota Kelantan, Sofie Louise Johansson dan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di daerah Tumpat.
Seorang penerima, Kamarolzaman Daud, 51, dari Kampung Kebit di sini berkata, dia mengakui teruja dapat menatap raut wajah baginda secara lebih dekat.
Katanya, dia turut bersyukur menjadi salah seorang penerima sumbangan yang disempurnakan oleh baginda.
“Saya akan memanfaatkan sebaik mungkin sumbangan ini untuk kegunaan keluarga,”ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Mariati Abdul Aziz, 56, dia menghadiri majlis tersebut semata-mata mahu melihat tuanku sultan dengan lebih dekat.
Katanya, kali terakhir dia melihat Sultan Kelantan semasa baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan kira-kira 16 tahun lalu.
“Baginda pernah mencemar duli semasa hadir ke Kampung Bendang Kerian. Hari ini, saya datang untuk melihat tuan dari dekat dan meraikan Aidilfitri bersama rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.