KEMAMAN – Empat individu termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta Proton Persona di Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Pusat Latihan Khidmat Negara, Cheneh di sini hari ini.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, kemalangan tersebut turut menyebabkan lapan individu lain yang menaiki dua kenderaan itu mengalami kecederaan.
Beliau berkata, sepasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut pada pukul 4.47 petang.
“Kereta Proton Persona pertama dinaiki tujuh mangsa dengan dua wanita dan seorang bayi disahkan meninggal dunia manakala empat lagi kecederaan.
“Seorang lagi lelaki yang menaiki Proton Persona berlainan turut maut manakala empat penumpang lain termasuk seorang kanak-kanak yang turut menaiki kenderaan itu mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azman berkata, operasi bagi mengeluarkan kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing yang remuk teruk sedang giat dilakukan.
“Mangsa yang cedera akan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan.
“Mayat empat mangsa yang meninggal dunia pula bakal dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE