APABILA memilih busana untuk digayakan pada Syawal ini, pakaian yang kaya dengan elemen tradisional sering kali menjadi pilihan.
Ini memandangkan pakaian tema tersebut sentiasa malar segar dan tidak lapuk dek zaman.
Ciri-ciri yang ada pada busana Melayu klasik seperti sulaman, kain songket dan penggayaan kerongsang mempunyai pesonanya tersendiri, sekali gus menjadikan pemakai tampil cantik saat menyambut lebaran.
Bagi mengangkat ciri tersebut dalam penghasilan busana Aidilfitri, jenama Naelofar memperkenalkan koleksi pakaian dinamakan sebagai Warisan.
Pengasasnya, Noor Neelofa Mohd. Noor berkata, tema itu dipilih bagi mengangkat dan menyanjungi warisan serta kebudayaan Melayu yang kaya dengan pelbagai ciri menarik.
“Pada koleksi kali ini, orang ramai dapat melihat keindahan warisan tradisional klasik wanita Melayu.
“Peminat jenama ini akan terpukau melihat keindahan seni sulaman dan songket yang digabung dengan ciri-ciri moden pada busana untuk disesuaikan dengan gaya masa kini,” ujarnya.
Sulam kerawang sememangnya mempunyai pesonanya yang tersendiri dan menjadi pilihan tatkala menggayakan pakaian klasik seperti baju kurung.
Justeru, Naelofar memperkenalkan busana baju kurung yang diperbuat daripada kain kapas premium dengan perincian sulaman pada bahagian lengan serta sisi baju.
Sulam kerawang juga diterjemahkan pada koleksi tudung bawal untuk dipadankan dengan pakaian daripada koleksi ini.
Bagi menambah ciri kemelayuan pada koleksi itu, Noor Neelofa menamakan pakaian dan tudung Warisan dengan nama-nama klasik wanita Melayu.
Antara nama menarik yang dipilih untuk disesuaikan dengan koleksi itu adalah Dayang, Khatijah, Soraya, Sarimah, Mahsuri dan Mastura.
Tudung Khatijah Crystal Square menampilkan rekaan bawal dengan corak kain songket yang cukup menyerlah.
Rekaan abaya dua lapis Jameela pula menampilkan perincian renda dan labuci yang menjadikan pemakai tampak glamor serta menyerlah.
Gabungan fabrik satin dan sifon menjadikan tudung abaya mempunyai tekstur beralun lembut serta selesa digayakan sepanjang hari.
Tambah Noor Neelofa, tema Warisan menjadi pilihan kerana elemen kemelayuan cukup dekat di hatinya dan keluarga.
“Kekeluargaan, warisan dan nilai-nilai budaya Melayu adalah perkara paling penting dalam kehidupan saya sekeluarga.
“Sejauh mana kita melangkah atau semaju mana sekalipun kita bergerak, nilai warisan yang ada dalam diri haruslah diangkat serta dipertahankan.
“Justeru, saya berharap agar koleksi ini mampu menarik minat golongan muda untuk lebih memahami dan menghargai seni warisan tradisional,” katanya.
Koleksi Warisan boleh dibeli di semua cawangan butik Naelofar di seluruh negara atau menerusi platform online seperti Shopee dan laman web Naelofar.