LONDON – Seorang lelaki yang menghadiri temu duga di sebuah syarikat gagal serta-merta kerana bersikap tidak mesra dengan penyambut tetamu, lapor portal berita Mail Online semalam.
Penyambut tetamu itu ternyata merupakan pengurus bahagian pengambilan pekerja di syarikat tersebut.
Berdasarkan kisah yang disiarkan di forum perbincangan Reddit oleh salah seorang pekerja syarikat itu. calon tersebut dikatakan gagal 5 minit sebelum sesi temu duganya bermula.
Helah yang direka firma tersebut untuk menyingkirkan calon yang tidak mesra itu ternyata berfungsi dengan sempurna.
“Dia tidak mesra dengan penyambut tetamu. Wanita itu mengucapkan salam dan dia (calon) tidak bertentang mata dengannya.
“Wanita itu cuba berbual dengannya. Sekali lagi, dia tidak berminat untuk bercakap dengannya.
“Disebabkan interaksinya yang tidak mesra dengan ‘penyambut tetamu’, pengurus tersebut membuat keputusan bahawa dia tidak sesuai untuk pekerjaan tersebut,” katanya. – Agensi