Kesesakan jalan raya termasuk di lebuh raya bagaikan lumrah yang terpaksa dihadapi rakyat Malaysia saban tahun bagaikan tiada kesudahan.
Bagi pengguna jalan raya dari Lembah Klang ke Pantai Timur kesesakan luar biasa Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) merupakan dugaan dan cabaran besar yang dihadapi setiap kali musim cuti.
LTU atau dulu dikenali sebagai Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) merupakan antara laluan lebuh raya tanpa tol yang menghubungkan Pahang dengan Kelantan sinonim dengan kesesakan luar biasa setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah.
Namun apa yang berbeza dengan lebuh raya lain, LTU merupakan antara lebuh raya yang tidak menyediakan kemudahan tempat rehat dan rawat (R&R) dan juga tandas awam (mungkin sebab status lebuh raya tanpa tol).
Hakikatnya meskipun berjam-jam dan hampir sehari di atas jalan raya, namun rakyat Malaysia yang mempunyai kesabaran tinggi masih mampu bertahan malah mampu menahan lapar.
Namun lain ceritanya apabila sampai waktu ‘melepaskan hajat’ sudah tentu ia satu penyeksaan yang tidak mampu ditahan. Kesudahannya pengguna membuang air kecil dan besar di tepi lebuh raya berkenaan.
Bagi yang membuang air kecil ada yang memasukkannya ke dalam plastik atau botol air mineral sebelum dicampak ke luar kenderaan dan ada yang mencari ‘port’ sesuai untuk membuang air besar di tepi lebuh raya.
Selain najis, sampah-sampah daripada bungkusan makanan dan minuman yang dibawa pengguna jalan raya sebagai bekal juga pastinya memenuhi kawasan lebuh raya berkenaan bagaikan baru lepas pesta keramaian.
Jadi tidak hairanlah beberapa kawasan ‘spot’ lebuh raya berkenaan menyakitkan mata memandang dan berbau busuk najis yang menusuk ke hidung. Pengguna seringkali dikecam sebagai tidak bertamadun dengan sikap berkenaan.
Namun hakikatnya apa lagi pilihan yang ada, bolehkan kita menahan membuang air kecil atau air besar atau membuangnya di dalam kenderaan.
Pada 5 Mac lalu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengumumkan akan membina beberapa R&R sepanjang laluan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang bermula dari Pahang sehingga ke Kelantan itu.
Beliau memberitahu hentian R&R pertama akan dibina di Bentong selepas keluar daripada Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, manakala R&R kedua pula akan dibina di Lipis iaitu di Kampung Relong dan sebuah lagi di Gua Musang, Kelantan.
Pengumuman ini sudah tentu menjadi berita gembira buat pengguna yang sebelum ini berhadapan ‘dugaan’ getir ketika melalui lebuh raya itu.
Namun entah berapa lama lagi harus menunggu kerana untuk membina R&R sudah tentu memerlukan proses yang memakan masa mungkin bertahun-tahun, dan setakat ini tiada apa-apa lagi dilakukan termasuk pembersihan tapak.
Pelbagai cuti umum, cuti persekolahan dan perayaan akan terus disambut dan lebuh raya berkenaan akan kembali dipenuhi pengguna.
Mungkinkah sebagai langkah awal, tandas sementara dan tong sampah boleh disediakan demi keselesaan pengguna dan juga kebersihan kawasan sekitar.
Dalam Malaysia Madani yang prihatin rakyat ini apa salahnya diwujudkan Tandas Rahmah dan Tong Sampah Rahmah di lebuh raya berkenaan.