PETALING JAYA – Mencuri tumpuan ramai apabila tidak lagi berhijab pada hari raya pertama, anak kepada pelakon legenda Allahyarham Azmil Mustapha iaitu Alya Iman membuktikan itu tidak menghalangnya untuk terus berbuat kebaikan.
Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil dilihat memberi makanan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuk golongan gelandangan.
“Hari raya kedua memasak di rumah untuk orang-orang yang memerlukan.
“Ini untuk ibu dan ayah,” coretnya seraya berkongsi beberapa video menyaksikan dirinya menyediakan juadah dengan air tangan sendiri.
Turut kelihatan, Alya, 22, memberikan duit raya buat anak-anak tidak bernasib baik dan membawa mereka menjamu selera di restoran makanan segera popular.
Terdahulu, Alya yang juga merupakan seorang pelakon mengejutkan orang ramai apabila tidak lagi bertudung pada hari raya pertama.
Menerusi beberapa hantaran dalam Instagram sempena Aidilfitri, Alya kelihatan anggun dengan gaya rambut berombak di samping pakaian raya.
Sungguhpun begitu, dalam pada ramai yang mengecam tindakannya tidak lagi bertudung, ramai dalam kalangan peminat meminta agar netizen mendoakan yang terbaik buat Alya. – KOSMO! ONLINE