BINTULU – Kanak-kanak perempuan yang dipercayai terjatuh ke dalam kolam di belakang sebuah kilang di Sungai Plan, Kidurong di sini ditemukan mati lemas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa berumur 11 tahun itu ditemui pukul 4.12 petang tadi oleh pihak bomba yang melakukan pencarian menggunakan kaedah ‘water surface searching’.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudian dibawa oleh polis ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, bomba menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 2.39 petang.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi. – KOSMO! ONLINE.