BALING – Seorang wanita warga emas maut selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Bawah Gunung berhampiran Taman Sri Baling, di sini semalam.
Mayat mangsa, Lim Phaik Luang, 82, ditemui kira-kira pukul 12.45 tengah malam semalam.
Kebakaran melibatkan tiga buah rumah dengan dua rumah terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi 80 peratus.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12 tengah malam.
“Hasil pemeriksaan menemui satu mayat dalam keadaan rentung di salah sebuah rumah dan mangsa dipercayai terperangkap ketika kebakaran berlaku,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa yang merupakan ibu tunggal tinggal bersendirian di rumah tersebut.
Menurut Shamsudin, sebuah lagi rumah terletak kira-kira lima meter dari rumah mangsa maut disewa kepada empat etnik Rohingya dan mereka tiada di rumah semasa kejadian.
“Menurut saksi, kebakaran bermula dari rumah si mati seterusnya merebak ke rumah kedua yang disewa etnik Rohingya.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah lain,” ujarnya.
Tambahnya, laporan awal yang diterima daripada pihak bomba, kebakaran berkemungkinan berpunca akibat litar pintas dan tiada unsur jenayah.
“Siasatan masih diteruskan untuk mencari punca sebenar kejadian kebakaran,” jelasnya.
Sementara itu, jiran mangsa, Mohd. Badrul Hizan Ishak, 38, berkata, kejadian kira-kira pukul 11.45 malam semalam itu disedari isterinya, Noraini Omar, 37, ketika mahu membuat susu untuk anak berusia tiga tahun di dapur.
“Isteri ternampak cahaya melalui tingkap sebelum mengejutkan saya dan ternampak rumah berdekatan terbakar.
“Api semakin marak di ruang tamu rumah mangsa yang kebiasaannya menjadi tempat mangsa berehat dan tidur. Mangsa sihat dan boleh berjalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE