NEW DELHI – Sebuah video tular di media sosial India memaparkan sepasang pengantin bergaduh di atas pelamin ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung, lapor laman berita India Times kelmarin.
Pada permulaan video tersebut, pengantin lelaki dilihat mahu menyuap manisan kepada pengantin perempuan secara kasar.
Tindakan itu bagaimanapun tidak disenangi pengantin perempuan yang cuba menepis tangan pengantin lelaki.
Wanita berkenaan kemudian menampar pipi suaminya sebelum kedua-duanya saling berbalas pukulan dan menolak, yang menyebabkan keluarga dan rakan-rakan masing-masing naik ke pentas perkahwinan bagi meleraikan pergaduhan itu.
Kedua-dua pasangan pengantin itu bagaimanapun tidak menghentikan pergaduhan mereka, sebaliknya saling menarik rambut dan baju masing-masing.
Pada pengakhiran video, kedua-dua pasangan itu terjatuh dan mereka dikelilingi oleh orang ramai.
Tidak dinyatakan keadaan kedua-dua mereka selepas insiden itu.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Kedua-dua mereka tidak layak untuk berkahwin. Lebih baik mereka membujang sampai ke tua,” kata seorang pengguna media sosial. – Agensi