PETALING JAYA – Memilih baju raya sedondon rona merah jambu cair, penampilan Shuib Sepahtu dan kekasihnya, Watie Hanifiah meraikan 1 Syawal meraih perhatian ramai sejak semalam.
Lebih manis apabila selain keempat-empat permata hati, ibu kepada pelawak merangkap penyampai radio itu, Salamiah Jalani turut bersama mengabadikan momen
menyambut raya pertama dengan bakal menantu.
Nyata Shuib atau nama penuhnya Shahmira Mohamad mengotakan janji mahu beraya dan memperkenalkan bakal isteri kepada ahli keluarga masing-masing.
“Bismillah… Selamat Hari Raya Aidilfitri 2023”, tulis ahli perniagaan berusia 39 tahun dalam hantaran yang dikongsi menerusi Instagramnya.
Watie juga tidak kekok mendukung anak bongsu Shuib, Ayash Affan, 2, yang tampak selesa serta ceria berada di samping wanita tersebut.
Kegembiraan turut sama dirasai tiga lagi permata hati Shuib iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; dan Ariq Matin, 7.
Terdahulu, bapa kepada empat cahaya mata itu maklumkan bakal beraya bersama Watie kerana Syawal waktu terbaik untuk mengadakan pertemuan antara keluarga mereka.
Sebelum itu Shuib menamatkan teka-teki mengenai hubungannya dengan usahawan itu apabila mendedahkan Jun depan sebagai mereka tarikh disatukan.
Isteri Shuib yang juga penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos 2021.
Menerusi ruangan komen ramai pengikut dan rakam selebriti mengucapkan tahniah serta Selamat berbahagia kepada bakal pengantin.
“Nampak lengkap. Kami doakan yang terbaik untuk anak-anak arwah Siti Sarah. Mereka Masih perlukan seorang ibu,” tulis seorang pengikutnya.
“Kita semua doakan yang terbaik untuk Shuib dan wanita,” kata seorang netizen. – KOSMO! ONLINE