BANDAR RAYA NEW YORK – Isteri kepada seorang bekas ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), menyaman syarikat penerbangan American Airlines kerana mengurungnya di dalam tandas pesawat bersama anaknya yang berusia tiga tahun selepas dituduh melakukan ‘aktiviti pengganas’.
Menurut laporan akhbar Daily Star, Yazz Giraldo, 36, menjadi trauma selepas insiden tersebut. Dia percaya dijadikan sasaran disebabkan dia dan suaminyal, Ali Moghaddam, bercakap dalam bahasa Parsi.
Dalam insiden pada September tahun lalu, Yazz dan suaminya bersama dua anak mereka menaiki penerbangan dari Fort Lauderdale, negeri Florida ke New York.
Disebabkan kedua-dua anak mereka perlu menggunakan tandas, dia menggunakan tandas di kabin kelas perniagaan, namun dilarang oleh pramugari.
Yazz kemudian pergi ke bahagian belakang pesawat dan menukar lampin pakai buang anaknya di situ di mana Ali, duduk di tempat lain dan jauh daripada mereka.
Menurut Yazz, pramugari yang lain kemudian memberitahunya bahawa dia boleh menggunakan tandas terdekat justeru, dia membawa anak lelakinya masuk ke dalam tandas tersebut, demikian menurut dokumen saman Mahkamah Persekutuan Brooklyn.
Pramugari yang pada awalnya melarang Yazz menggunakan tandas sekali lagi cuba menghalangnya, namun tetap diteruskan oleh wanita itu.
“Saya menutup pintu dan apabila saya berada di dalam tandas, saya terdengar bunyi pintu dikunci dari luar.
“Saya mula cemas dan tertekan. Saya mula menjadi panik, mengetuk pintu tandas dengan kuat dan menjerit agar mereka megeluarkan saya.
“Dia (pramugari) menghukum saya kerana saya mencabarnya,” kata bekas pengacara program televisyen itu.
Tambah wanita itu, pramugari memberitahunya bahawa juruterbang membuat keputusan untuk meletakkan pesawat itu di bawah mode ‘serangan pengganas’ disebabkan tindakannya.
“Saya terus menyedari bahawa ia berbaur perkauman. Saya tahu bahawa saya didiskriminasi dan dimalukan. Hanya kerana saya bercakap dalam bahasa Parsi,” ujarnya.
Sementara itu, Ali yang merupakan bekas pendakwa raya yang berkhidmat selama enam tahun dalam FBI tidak menyedari kejadian itu sehingga polis mengiringi mereka sejurus pesawat tiba di New York.
“Saya mendedikasikan 10 tahun daripada kehidupan saya untuk berkhidmat kepada orang ramai dan melindungi masyarakat. Saya menyertai Pasukan Petugas Keganasan Bersama, melakukan penyamaran dan anggota Pasukan Taktikal dan Senjata Khas (SWAT).
“Semua ini saya lakukan dan akhirnya, keluarga saya dituduh menjadi pengganas dan diiring keluar dari pesawat hanya kerana kami mahu menukar lampin anak?” tegasnya.
Ali sekeluarga dibawa ke sebuah stesen cawangan FBI di lapangan terbang sejurus mendarat dan dibebaskan 15 minit kemudian.
Sementara Amerika Airlines pula berkata, pihaknya sedang menilai butiran saman tersebut dan mengambil berat akan tuduhan diskriminasi itu. – Agensi