NAPLES – Tonggak utama Napoli, Kalidou Koulibaly mengakui tumpuannya tidak lagi terganggu dengan khabar angin mengenai perpindahan dan boleh fokus sepenuhnya untuk membantu pasukan kendalian Gennaro Gattuso itu mencapai sasaran musim ini.
Sebagai rekod, khidmat Koulibaly sebelum ini menjadi buruan beberapa kelab utama Eropah seperti Manchester United, Manchester City, Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea, tetapi harga tinggi yang diletakkan oleh Napoli menghalang hasrat tersebut.
Kini, tonggak pertahanan antarabangsa Senegal itu percaya dia sudah berada dalam prestasi terbaik selepas berjaya membantu pasukan meraih kemenangan 1-0 ke atas Real Sociedad pada aksi Liga Europa awal pagi semalam.
“Secara jujur, saya gagal memulakan saingan musim ini seperti yang diharapkan kerana semua tahu, apa yang berlaku ketika jendela perpindahan dibuka dengan berita perpindahan sedikit sebanyak menjejaskan prestasinya.
“Namun, jurulatih (Gattuso) tidak pernah hilang kepercayaan dengan memberi motivasi buat saya sebelum mengharungi setiap perlawanan dan saya sangat bersyukur dengan keyakinan yang diberikan termasuk jurulatih sebelum ini, Carlo Ancelotti.
“Apa yang pasti, keputusan untuk kekal di Napoli adalah tepat kerana saya sudah berada di kelab ini sejak 2014 dan mahu terus berbakti di sini untuk tempoh yang lama. Kini, saya mahu memberi fokus penuh dan tidak lagi mahu melayan spekulasi penghijrahan,” katanya.
Napoli yang beraksi cemerlang dengan merekodkan empat kemenangan dalam lima perlawanan Serie A akan bertemu dengan Sassuolo pada awal pagi Isnin ini. – AGENSI