PETALING JAYA – Perdana Menteri menghadiri Majlis Santapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, pagi tadi.
Menerusi hantaran di akaun Facebooknya, Anwar yang lengkap berpakaian baju melayu berwarna biru muda bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kelihatan ceria menyapa tetamu yang hadir.
“Saya dan Azizah mengiringi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Dewan Santapan Utama bagi meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu yang hadir.
“Majlis turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Jemaah Menteri, para perwakilan asing, penjawat awam, dan pemimpin masyarakat,” katanya.
Pagi tadi, Anwar tiba di Masjid Negara pada pukul 8.05 pagi diikuti dengan ketibaan Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong pada pukul 8.15 untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Masjid Negara mula dibanjiri para jemaah seawal pukul 7 pagi dengan anggaran 10,000 jemaah yang hadir memeriahkan pagi Syawal. – KOSMO! ONLINE