LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta masih enggan mengibarkan bendera putih selepas menyaksikan pasukannya sekali lagi keciciran mata apabila seri 3-3 bertemu Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium Emirates itu, skuad The Gunners bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mengutip satu mata berharga hasil jaringan minit-minit akhir yang dilakukan oleh Martin Odergaard dan Bukayo Saka.
Menurut Arteta, barisan pemain telah memberikan seratus peratus di atas padang tetapi keputusan masih tidak memihak kepada pasukannya selepas merekodkan keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut.
“Sejujurnya saya tidak gembira dengan keputusan ini. Barisan pemain telah menyusahkan diri sendiri apabila melakukan kesilapan mudah dengan membiarkan lawan mendahului 2-0 pada awal saingan.
“Namun, kita berjaya bangkit dua kali pada perlawanan kali ini dan karakter yang dipamerkan oleh pemain membuatkan saya semakin bangga dengan mereka.
“Cuma, apa yang boleh saya katakan ketika ini adalah kami tidak akan berhenti berjuang sehingga ke perlawanan terakhir liga nanti,” kata pengendali import dari Sepanyol itu.
Arsenal masih kekal mendahului carta EPL dengan 75 mata selepas mengharungi 32 perlawanan manakala Manchester City dikedudukan kedua dengan 70 mata. – AGENSI