MADRID – Penyerang sensasi Real Madrid, Karim Benzema telah memohon maaf ke atas rakan sepasukan, Vinicius Junior susulan kritikan yang dilemparkan kepada pemain muda kelahiran Brazil itu pada awal minggu ini.
Sebagai rekod, Benzema sangat kecewa apabila Vinicius bersikap tamak selepas tidak membuka peluang untuk dia menjaringkan gol pada aksi Liga Juara-Juara ketika Real seri 2-2 dengan Borussia Monchengladbach awal pagi Rabu lalu.
Susulan itu, Benzema berkomplot dengan pemain pertahanan, Ferland Mendy agar memulaukan Vinicius dengan tidak membuat hantaran kepadanya sepanjang perlawanan itu.
Difahamkan, Benzema telah mengatakan kepada Mendy agar mengabaikan kelibat Vinicius kerana sikap tamaknya boleh menjejaskan misi pasukan dalam memburu kemenangan.
“Vinicius tidak memberi sumbangan langsung terhadap pasukan pada aksi itu dan saya harap kamu tidak melakukan sebarang hantaran kepadanya lagi,” kata Benzema kepada Mendy.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Real, Zinedine Zidane telah mengarahkan kedua-dua pemain itu untuk bersemuka dan meleraikan apa yang terbuku di dada agar pasukan dapat kembali fokus menjelang aksi La Liga menentang Huesca malam ini.
Justeru, Benzema mengakui kesilapannya tetapi berharap agar semua pemain termasuk Vinicius tidak lagi bersikap pentingkan diri sendiri kerana setiap kekalahan akan memberi kesan negatif kepada pasukan. – AGENSI